Pitas, 21 November 2025 – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N.3 Pitas, Ruddy Awah, berkongsi detik refleksi peribadinya selepas menziarahi pusara ibu bapa serta beberapa tokoh keluarga yang pernah menjadi sumber nasihat dan panduan kepimpinan sepanjang perjalanan hidupnya.
Dalam catatan beliau, Ruddy menyatakan bahawa pengorbanan orang tua dan nasihat orang lama sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan, terutama ketika memikul amanah rakyat.
Beliau menziarahi pusara ibu bapanya serta pakcik Ahmad Shukri, pakcik Abd. Malik dan Atuk Yahya Said yang pernah banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar berkaitan kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Ruddy berkata bahawa generasi terdahulu sering mengingatkannya supaya setiap langkah kepimpinan berasaskan keikhlasan dan usaha memenuhi kehendak masyarakat.
Nasihat tersebut menurutnya, menjadi prinsip yang dipegang sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau turut menziarahi pusara Tuan Guru Haji Lebai Said Abdullah — ulama besar keluarga yang beliau tidak sempat temui, namun namanya dikenang sebagai individu yang meninggalkan nilai dan prinsip penting yang terus diwarisi melalui anak-anak dan cucu-cucunya.
Nasihat generasi penerus inilah, kata Ruddy, yang membentuk kefahamannya tentang pentingnya memegang prinsip serta menjaga kebajikan masyarakat.
“Ziarah ini menjadi peringatan bahawa amanah yang saya pikul hari ini bukan sekadar tugas dalam tempoh kempen, tetapi kesinambungan nilai yang mereka tinggalkan. Selagi diberi ruang berkhidmat, saya akan terus berusaha membawa kebaikan kepada Pitas dengan tenang dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Kunjungan ini memberi makna tersendiri kepada beliau dalam suasana kempen PRU DUN Sabah Ke-17, menegaskan pendekatan kepimpinan yang bersifat sederhana, reflektif dan berpaksikan nilai keluarga.

